Home > agama, dunia > SALAM Maut dari Argentina

SALAM Maut dari Argentina

September 4, 2015 Leave a comment Go to comments

SALAM MAUT DARI ARGENTINA

11052465_539761309506748_8173059779835786834_nSuatu malam, aku berada di Masjid Jamek Sri Petaling. Sejurus solat Maghrib, seperti biasa diadakan majlis bayan iaitu majlis fikir atas iman dan amal. Ustaz Abdullah Hinzly menceritakan sebuah kisah benar.
Bagi aku, kisah ini sangat menarik untuk aku kongsikan bersama kau orang semua. Izinkan aku mengadaptasikan kisah tersebut dalam bentuk fiksyen agar nampak lebih menarik.
***
Lapangan terbang Buenos Aires menyaksikan ketibaan sekumpulan pendakwah dari Malaysia seramai sepuluh orang. Di situ, tidak ada sesiapa yang menyambut mereka.

Tidak kelihatan lelaki mahu pun wanita Muslim yang boleh dijadikan tempat bertanya. Apatah lagi mencari orang Melayu yang boleh memahami bahasa mereka.
Ketika mereka masih tercari-cari teksi untuk ke masjid berhampiran, mereka disapa oleh seorang lelaki, “Adakah kamu semua datang ke sini untuk berdakwah?”

“Ya. Tapi, kami mahu berjumpa dengan saudara seagama kami terlebih dahulu,” jawab Ustaz Salman, ketua jemaah dakwah tersebut.
“Baguslah. Seorang pesakit saya baru sahaja dikeluarkan dari hospital dan sekarang dia terlantar di rumahnya. Dia beragama Islam. Saya sudah tidak mampu merawatnya lagi kerana penyakitnya sudah menghampiri pintu kematian.”

“Jadi, kamu seorang doktor? Boleh kami tahu di mana rumah dia?” soal Ustaz Salman.
“Ya. Rumahnya berada tujuh ratus kilometer dari sini. Dekat dengan sempadan Uruguay. Sekejap, saya tuliskan alamatnya,” jawab lelaki tersebut sambil jari-jemarinya ligat menulis alamat rumah pesakitnya di atas sekeping kad. Kemudian, dia menyerahkannya kepada Ustaz Salman.

“Saya rasa, elok juga kamu berjumpa dengan dia.” Lelaki tersebut seakan-akan sudah mahu beredar dari situ.
“Err, boleh saya tahu, adakah kamu seorang Muslim?” tanya Ustaz Salman.
“Tidak. Saya seorang Yahudi.” Lelaki itu menjawab sambil melangkah pergi dari situ. Kumpulan jemaah tersebut terpinga-pinga.

Seketika kemudian, Ustaz Salman bermesyuarat dengan rakan-rakannya yang lain sama ada perlu pergi atau tidak menziarahi saudara seagama yang sedang berada di ambang kematian. Masing-masing memberikan pandangan yang berbeza-beza. Ada yang setuju untuk pergi dan ada pula yang tidak. Jarak rumah pesakit itu yang sejauh 700 km memungkinkan mereka melalui satu perjalanan yang panjang.

Akhirnya, keputusan dibuat oleh ketua jemaah setelah mengambil kira pelbagai faktor. Mereka terus mencari tiket bas untuk terus ke sempadan Argentina bagi menemui saudara seagama yang berada di ambang kematian.
Sesampainya di sana, mereka bertanya kepada penduduk setempat alamat rumah pesakit tersebut. Mujurlah penduduk di situ sudi menunjukkan rumahnya.

Takdir Allah menemukan para pendakwah tersebut dengan pemuda yang sedang menderita sakit bernama Daniel. Di rumah tersebut, hanya ada Daniel, ayah serta ibunya. Ketika memasuki rumahnya, mereka beristighfar melihat keadaan rumah Daniel yang dipenuhi dengan berhala, gambar Jesus, lambang Zionis di samping kalimah Allah dan Muhammad SAW.

Namun, mereka tidak terus memarahi atau menuduhnya murtad. Terlebih dahulu mereka berkenal-kenalan.

“Kami semua dari Malaysia. Datang ke sini semata-mata untuk berjumpa saudara seagama dan berdakwah. Syukurlah, Allah telah temukan kita,” bicara Ustaz Salman.

“Saya terharu dengan kesanggupan tuan-tuan menziarahi saya. Semenjak saya hidup di sini, tidak ada seorang pun orang Islam yang datang berjumpa dengan saya. Di kawasan ini, hanya saya, ibu dan ayah saya yang beragama Islam. Masjid pun tidak ada.”

“Adakah keluarga tuan berasal dari sini?” soal Ustaz Salman lagi.
“Kami semua dari Tanah Arab. Ayah berpindah ke sini untuk mencari kerja dua puluh tahun dahulu. Ibu saya warganegara sini. Setelah Ayah berkahwin dengan Ibu, kami terus menetap di sini.”

Daniel terus menceritakan asal-usul keluarganya kepada para jemaah. Mereka khusyuk mendengar ceritanya sehingga mereka menitiskan air mata. “Doktor kata, kematian saya semakin hampir. Saya akan mati beberapa hari lagi. Setiap hari, saya memohon perlindungan daripada semua tuhan ini. Saya tidak tahu, tuhan mana yang akan selamatkan saya.”

“Daniel, dalam dunia ini cuma ada
satu tuhan iaitu Allah. Allah yang menjadikan semua makhluk. Allah yang beri nyawa dan cabut nyawa makhluk. Tidak ada lagi tuhan selain Dia. Hanya orang yang menjadikan Allah sebagai tuhan sahaja yang selamat di dunia dan akhirat.” Ustaz Salman cuba menenangkan Daniel. Dalam saat-saat genting seperti ini, manusia akan berharap pada sesiapa sahaja.

“Tuan-tuan, ajarlah saya. Selama saya hidup, tidak ada sesiapa yang mengajarkan saya perkara ini. Tolonglah tuan-tuan. Saya tidak mahu masuk neraka.” Daniel merayu dalam nada yang sebak.
“Jika tuan izinkan, kami sedia untuk bermalam di sini selama tiga hari.”
“Ya. Tuan-tuan semua dialu-alukan.”

Selama tiga hari, Ustaz Salman dan rakan-rakannya mengajar Daniel serta ibu dan ayahnya berkenaan iman dan Islam. Mereka diajarkan semula kalimah syahadah dan maksud yang terselindung di sebalik kalimah itu. Daniel dan ibu bapanya juga dibimbing cara bersolat. Walaupun Daniel terbaring di katil, dia tetap masih mampu bersolat dengan cara solat orang uzur.

“Alhamdulillah. Saya rasa, saya semakin sihat. Sebentar lagi hilanglah kesakitan saya ini,” ujar Daniel pada hari ketiga yang membuatkan ibu dan ayahnya tersenyum. Sebaliknya, Ustaz Salman menitiskan air mata. Mungkin dia memahami kata-kata Daniel itu dengan maksud yang lain.

“Terima kasih kerana mengajar saya. Jika tuan-tuan tidak datang, saya tidak tahu apa akan jadi kepada saya,” ujarnya lagi.
“Semua ini ketentuan Allah, Daniel. Jika Allah sayangkan kita, Dia akan beri kita hidayat.”
Ketika Ustaz Salman dan rakan-rakannya bersedia untuk keluar dari rumah tersebut, Daniel mengerang kesakitan.

Mereka semua mendekatinya dan mentalkinkannya kalimah lailaha illallah. Ustaz Salman memeluk erat tubuh Daniel yang semakin lembik. Jelas kedengaran kalimah lailaha illallah itu keluar dari bibir Daniel sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
10482362_727319043984067_1199711548139522313_nUstaz Salman berbicara kepada semua yang ada, “Sesungguhnya, beruntunglah sesiapa yang mengucapkan kalimah ini di akhir kalamnya.

Pasti dan pasti Allah akan bagi syurga. Di luar sana masih ramai lagi manusia yang tidak kenal pada kalimah ini. Inilah tugas kita orang Islam. Kenalkan kalimah ini kepada mereka.”

Sebenarnya, banyak lagi kisah benar meruntun jiwa yang pernah aku dengar. Namun, mengalami sendiri sesuatu peristiwa itu lebih bermakna bagiku.

https://www.facebook.com/groups/JemaahTablighSeduniaOriginal/

Categories: agama, dunia
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s